Pusat GIATMARA Kluang Johor

Berita
Halaman Utama
Galeri kami
Berita
Sejarah GIATMARA Kluang
Hubungi Kami
Kakitangan Pusat GIATMARA Kluang
Organisasi Pusat
Kursus Yang Ditawarkan

News....Berita...News...Berita....News

Elaun Pelatih GIATMARA Naik!!!


DUNGUN: Pelatih Giatmara Malaysia (Giatmara) akan menikmati kadar elaun bulanan baru sebanyak RM270 berbanding RM100 sebelum ini, bermula sesi pengajian Januari ini.

Kenaikan itu berikutan pelatih Giatmara setanding dengan institusi kemahiran di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi walaupun mereka hanya memenuhi syarat minimum iaitu tahu membaca dan menulis.

Ketua Pegawai Eksekutif Giatmara, Meriyam Abd Majid, berkata kenaikan kadar elaun itu adalah yang pertama sejak pusat latihan berkenaan dibuka pada 1986.

"Kelulusan untuk menaikkan elaun ini sudah jelas, tetapi masih menunggu surat rasmi daripada Majlis Mara untuk menggalakkan lebih ramai lepasan sekolah menengah mengikuti kursus kemahiran.

"Mereka akan dilatih mengikut bidang kemahiran diminati seperti jahitan dan sulaman, kimpalan dan elektrikal dalam masa enam bulan dan ditanggung sepenuhnya Mara serta diberikan elaun bulanan," katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi Giatmara Negeri Terengganu di Majlis Daerah Dungun (MDD), di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Dungun yang Ahli Majlis Mara, Datuk Dr Rosli Mat Hassan dan hadir sama Pengurus Giatmara negeri, Wan Ahmad Roslizam Husain.


GIATMARA tubuh Kelab Usahawan

ALOR GAJAH: Giat Mara bercadang menubuhkan Kelab Usahawan Giat Mara di setiap negeri pada awal tahun depan bagi memperkasakan sektor perniagaan yang diceburi belia khususnya dalam sektor perindustrian bagi tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Halim Mansor, berkata kelab yang akan dianggotai pelatih lepasan institusi itu akan menghimpunkan mereka yang berjaya menubuhkan perniagaan dalam bidang masing-masing.

"Pada masa sama, Giat Mara juga merancang menubuhkan sebuah koperasi untuk menjaga kebajikan ahli yang terdiri daripada pelatih institusi ini seterusnya membimbing mereka memulakan perniagaan berlandaskan kemahiran yang dipelajari sebelum ini di pusat Giat Mara masing-masing," katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi Giat Mara Melaka sesi 2/2007 di Dewan Giat Mara Masjid Tanah, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop. Hadir sama, Pengurus Giat Mara negeri, Amran Awang.

Sejumlah 264 pelatih dalam pelbagai bidang kemahiran diberikan sijil selepas tamat mengikuti latihan antara enam hingga 12 bulan.

Abd Halim berkata, sejak beroperasi 20 tahun lalu, Giat Mara melahirkan 170,000 pelatih dalam pelbagai kemahiran dan daripada jumlah itu, lebih 122,000 menceburkan diri dalam sektor pekerjaan manakala 3,000 pelatih lagi membuka perniagaan sendiri.


Utara: Pusat GIATMARA ambil pelatih OKU dan Ibu Tunggal

BALING: Pusat Giat Mara akan mengambil pelatih dari kalangan ibu tunggal, penduduk miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) mengikuti latihan di pusat berkenaan dalam usaha memperbaiki taraf hidup golongan terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meriyam Abdul Majid, berkata golongan itu akan diberi peluang mengikuti kursus dalam bidang yang diminati dan bersesuaian selain diberi elaun ketika mereka menjalani latihan selama enam bulan di situ.

"Antara bidang yang sesuai untuk golongan berkenaan, termasuk jahitan dan sulaman, membuat roti dan kek serta berbagai kursus kemahiran dalam bidang automotif.

"Pengambilan kumpulan itu akan dilaksanakan secepat mungkin selepas kumpulan sasaran dikenalpasti.

"Melalui pendekatan itu, Pusat Giat Mara berharap dapat memberi sumbangan lebih besar terhadap usaha mengurangkan kemiskinan di negara ini," katanya selepas majlis penyampaian sijil kepada 600 peserta Giat Mara di seluruh Kedah.

Sijil itu disampaikan oleh Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Kemahiran pelajar lemah elok diasah

PENINGKATAN pelajar yang memperoleh gred E dalam semua mata pelajaran Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 seperti yang dilaporkan dalam Buletin Utama kelmarin adalah sesuatu yang mengejutkan. Dalam usaha kerajaan memperkenalkan pelbagai bentuk perancangan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara, masih ada segelintir pelajar gagal untuk mencapai tahap pencapaian minimum.

Kumpulan pelajar ini, walaupun kecil peratusannya, tidak boleh dipandang ringan oleh Kementerian Pelajaran. Lebih membimbangkan lagi ialah bagaimana kumpulan pelajar ini akan meneruskan pengajian ke Tingkatan Empat dengan pencapaian itu.

Sudah pasti ia bukan saja membebankan kumpulan pelajar ini, bahkan juga guru untuk melaksanakan kurikulum pengajian yang tentunya lebih mencabar di tingkatan lain.

Kita tidak pasti apakah kumpulan ini masih berminat meneruskan pelajaran. Jika mereka tidak berminat, tugas guru untuk menanam minat dan mendidik pelajar kumpulan ini menjadi satu cabaran besar.

Apa yang membimbangkan jika mereka tidak berminat dalam meneruskan pengajian ini tetapi masih tetap ke Tingkatan Empat dalam keadaan mental yang tidak bersedia, kemungkinan membawa nilai negatif kepada sekolah dan mempengaruhi pelajar lain.

Akhirnya, wujud gejala negatif seperti ponteng sekolah, merokok, melanggar peraturan sekolah, tidak menghormati guru dan sebagainya.


Sumber petikan ini dipetik dari Berita Harian

Pusat GIATMARA Kluang*Jln. Dato Kapten Ahmad * Kluang * Johor * 86000